JANUARI 2024

PPCC Urus Tenaga Secara Mampan


KUCHING: Jawatankuasa Perancangan dan Penyalarasan Tenaga (PPCC) mengadakan mesyuarat di Wisma Sumber Alam di sini pada 17 Januari lalu sejajar dengan komitmen dan strategi Kerajaan Sarawak membangun dan menguruskan tenaga secara mampan.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili dan wakil dari pelbagai agensi.

Mesyuarat itu membincangkan strategi berkaitan penyelarasan, perancangan dan peruntukan bekalan elektrik di Sarawak dan merangkumi kajian komprehensif dan penilaian semula antara lebihan dan bekalan tenaga di negeri ini.

Selain itu, mesyuarat berkenaan juga membincang mengkaji ketetapan dan tempoh projek pelaburan dalam penjanaan tenaga dan rantaian pembangunan berkaitan.

Dalam pada itu, mesyuarat PPCC itu juga mengesyorkan peruntukan tenaga khusus bagi pelanggan strategik, berpandukan dasar Kerajaan Negeri bertujuan memberi keutamaan kepada pelaburan dalam negeri.

Diuruskan di bawah RECODA dan dipenegrusikan oleh Menteri MINTRED, PPCC ditubuhkan pada peringkat awal Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai badan pengkaji pembangunan strategik dan mengagihkan tenaga kepada industri pukal.

Pada 12 Jun 2023, PPCC mengurus menangani dan menyelaras peningkatan permintaan tenaga daripada pelbagai agensi. Ia memberi laluan kepada penubuhan sebuah badan pusat yang bertanggungjawab untuk menyelaras dan merancang secara menyeluruh pembangunan dan bekalan tenaga untuk Sarawak.

Di bawah kepimpinan Datuk Amar Awang Tengah dengan Sarawak Energy sebagai urusetia bersama dan melantik anggota urusetia daripada MINTRED, PPCC adalah sebagai bukti kesungguhan Sarawak menjadi kerajaan bertanggungjawab dan berpandangan jauh dalam pembangunan tenaga.

Sumber dari : Jiwa Bakti